Syarat Perkhidmatan Alat Bersindiket untuk Juruweb
Dengan menambah alat ke tapak web anda atau bertindak sebagai pengedar alat perantaraan,
anda bersetuju untuk mematuhi Syarat
Perkhidmatan Google dan syarat tambahan ini:
- Alat yang disediakan oleh Google untuk pensindiketan boleh digunakan secara komersial
tetapi hendaklah tekal dengan undang-undang dan sebarang pengehadan atau syarat penggunaan
yang dinyatakan oleh pembangun alat. Had penggunaan untuk alat yang dicipta sendiri oleh
Google ada di sini.
- Anda bersetuju untuk tidak mengubah suai atau mengalih keluar teks atau pautan “alat
yang dikuasakan oleh Google” atau butang “+Google” atau teks atau imej promosi lain yang
disediakan oleh Google dengan kod alat. Jika tapak anda memaparkan senarai atau direktori
alat, anda hendaklah memberikan atribusi yang mengenal pasti alat. Anda faham dan bersetuju
bahawa Google mengawal pilihan untuk menggantikan butang “+Google” dengan kandungan,
termasuk kandungan pengiklanan atau promosi, yang mengisi ruang dan kedudukan yang sama
pada halaman anda apabila anda memaparkan alat tersebut.
- Anda faham bahawa kebanyakan alat disediakan oleh pembangun pihak ketiga, bukan Google
dan Google tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau prestasi alat tersebut. Data yang
dimasukkan dalam alat ini akan pergi kepada pembangun alat – bukan kepada Google. Alat
mungkin ditamatkan atas kehendak pembangun alat tersebut.
- Dalam proses menyediakan alat, perkhidmatan Google tertakluk kepada Dasar Privasi Google. Alat individu
dilindungi oleh dasar privasi penyedia alat tersebut. Apabila halaman yang memaparkan alat
dilayari, permintaan akan dihantar kepada pelayan Google yang merangkumi URL alat dan
pilihan alat yang dibuat serta URL halaman tersebut.
- Google mungkin menukar proses teknikal untuk pemaparan alat mengikut budi bicara Google
sendiri dan mungkin menamatkan penyediaan alat jika alat tersebut melanggar undang-undang
atau dasar Google atau atas budi bicara Google sendiri. Anda bersetuju bahawa anda akan
mengalih keluar alat daripada tapak atau direktori anda apabila anda menyedari bahawa alat
tersebut melanggar hak cipta atau mana-mana undang-undang lain atau sekiranya Google
memaklumkan anda bahawa alat tersebut melanggar dasar Google.
- Dengan menyediakan alat, Google tidak menyokong atau bergabung dengan halaman web anda.
Anda tidak boleh memaparkan alat ini dengan cara yang membayangkan sokongan atau gabungan
seperti itu.
- Anda tidak boleh memaparkan alat ini di tapak yang mengandungi kandungan pornografi;
yang menggalakkan atau menghasut kebencian atau keganasan; yang menceroboh hak peribadi
termasuk hak privasi; yang melanggar mana-mana undang-undang termasuk undang-undang hak
intelektual; atau yang mengganggu fungsi tapak web lain.
- Sekiranya tuntutan undang-undang dibuat terhadap Google yang timbul daripada penggunaan
alat bersindiket oleh anda, anda bersetuju untuk membayar ganti rugi atas semua liabiliti
dan perbelanjaan yang ditanggung akibat daripada tuntutan tersebut.
- Anda boleh bertindak sebagai pengantara, menawarkan alat untuk pensindiketan kepada
halaman web yang ditadbir oleh pembangun pihak ketiga. Jika anda berbuat demikian, anda
hendaklah memberikan pembangun pihak ketiga tersebut Syarat Perkhidmatan ini supaya mereka
tahu tanggungjawab berkontrak mereka terhadap Google. Anda tidak boleh mengatur
perkhidmatan anda untuk tidak menggalakkan pematuhan terhadap Syarat ini.
Google boleh mengubah suai syarat ini pada bila-bila masa atas budi bicaranya sendiri. Kami
berhak untuk menamatkan kontrak ini dan penggunaan alat oleh anda pada bila-bila masa
mengikut budi bicara kami, termasuk berdasarkan pelanggaran perjanjian ini. Kami menafikan
sebarang jaminan tersurat atau tersirat yang berkaitan dengan alat.